Sabtu, 10 November 2012

Bahasa Melayu

Asal usul Bahasa Melayu
Jika kita ingin mengkaji sejarah asal-usul sesuatu bahasa, maka kita perlu mengkaji terlebih dahulu bangsa yang menutur bahasa tersebut. Setiap bahasa dihasil dan diwarisi oleh bangsa tersebut.Siapakah orang Melayu? Dari manakah mereka berasal? Asal usul orang Melayu sebagai penutur asli bahasa Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana dari dalam dan luar negara.
Terdapat dua teori utama bagi menjelaskan asal usul bahasa dan orang Melayu, iaitu Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan dan Teori Orang Melayu Berasal dari Nusantara.

1) Teori Orang Melayu Berasal dari Yunan
Teori ini dipelopori oleh para sarjana Barat yang berpendapat orang Melayu berasal dari daerah Yunan iaitu suatu kawasan yang terletak di utara Loas dan barat daya negara China. Terdapat dua gelombang penghijrahan orang Yunan ke Asia Tenggara. Penghijrahan pertama dinamakan Melayu Proto yang berlaku berlaku sejak tahun 2500 sebelum Masihi. Penghijrahan kedua dinamakan Melayu Deutro yang berlaku kira-kira dalam tahun 1500 sebelum Masihi. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara. Penghijrahan Melayu Deutro menyebabkan Melayu Proto melarikan diri ke kawasan pedalaman kerana terancam dengan Melayu Deutro yang lebih maju dan hidup secara berkumpulan.
Berikut ialah hujah para sarjana tersebut yang dipetik daripada Darwis Harahap (1992):
* R.H. Geldern
Beliau menemukan kapak tua yang diperbuat daripada batu di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Beliau juga menemukan kapak yang mempunyai bentuk dan jenis yang sama di beberapa tempat di kawasan Nusantara. Geldern membuat kesimpulan kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke Asia Tenggara atau ke Kepulauan Melayu ini.
* J.H.C Kern
J.H.C. Kern membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Perkataan tersebut di antara lain ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di Asia.
* Asmah Haji Omar
Asmah Haji Omar berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China. Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi.

2) Teori Orang Melayu dari Nusantara
Terdapat sebahagian sarjana berpendapat bahawa orang Melayu tidak berasal dari mana-mana wilayah sebaliknya telah wujud sekian lama di kawasan Nusantara khususnya kawasan daratan antara Jawa dan Kalimantan yang dahulunya belum ditenggelami air latan. Berikut ialah hujah mereka:
 J. Crawfurd
J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini. J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau sampai pada satu kesimpulan bahawa:
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain.
* Sutan Takdir Alisjahbana
Sutan Takdir Alisjahbana (1987), menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat.
* Gorys Keraf
Gorys Keraf (1984), mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana (1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis".
* Bukti Penemuan Sejarah
Jika ditinjau dari sudut ilmu kaji purba pula, penemuan tengkorak yang terdapat di Nusantara ini memberi petunjuk bahawa manusia telah lama ada di sini. Penemuan tersebut di antara lain ialah:
1. Pithecanthropus Mojokerto (Jawa), yang kini berusia kira-kira 670,000 tahun.
2. Pithecanthropus Trinil (Jawa), kira-kira 600,000 tahun.
3. Manusia Wajak (Jawa), kira-kira 210,000 tahun.
Rumpun Bahasa Melayu
Bahasa Melayu dikatakan berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat juga rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina. Rumpun bahasa Austronesia ini pula terbahagi kepada empat kelompok yang lebih kecil, iaitu:
1. Bahasa-bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara. Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 – 300 bahasa antaranya golongan Sumatera, golongan Kalimantan, golongan Jawa, golongan Filipina dan banyak lagi. Contoh: bahasa Melayu, Aceh, Jawa, Sunda, Dayak, Tagalog, Solo, Roto, Sika dan lain-lain.
Oleh itu,beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur Bahasa Melayu berasal dari rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris.

Rujukan KRB3033 Pengantar Bahasa Melayu UPSI










Ahad, 21 Oktober 2012

Bahasa Melayu

     Konsep bahasa

     Bahasa ialah alat komunikasi untuk manusia berhubung,melahirkan perasaan,kehendak,fikiran dan sebagainya.
     Dalam pertuturan manusia terdapat bentuk-bentuk bahasa yang terdiri daripada kumpulan bunyi yang berupa perkataan yang bermakna,rangkai kata dan ayat-ayat.Tiap-tiap bentuk mempunyai sistem dan peraturannya yang tersendiri dalam menghasilkan sesuatu bunyi.Ia mempunyai hukum-hukumnya yang membentuk perkataan rangkai kata dan ayat-ayat.
     Edward Safir menyebut bahawa bahasa ialah satu sistem lambang-lambang pertuturan yang dfigunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan perasaan.
    
     

Selasa, 2 Oktober 2012

SEKAPUR SIREH




Bismillahirrahmanirrahim,


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah S.W.T kerana akhirnya saya telah berjaya membina laman sesawang ini. Saya merupakan seorang guru dan sedang melanjutkan pelajaran secara jarak jauh di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Tujuan pembinaan laman sesawang ini adalah untuk memenuhi kehendak kerja kursus KRT3013 Teknologi Maklumat Sekolah Rendah.
Selain itu,blog ini diharap dapat membantu para pembaca khususnya murid-murid dan guru-guru yang berminat untuk mendapatkan info-info berkaitan Bahasa Melayu.
Turut dimuatkan di dalam blog ini ialah sumber-sumber pengajaran yang boleh digunakan untuk guru-guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu.
Diharapkan semua guru dan pembaca yang ingin berkongsi maklumat dapat memanfaatkan blog ini untuk meningkatkan ilmu pengatahuan. Sebarang perkongsian maklumat dan kritikan amatlah dialu-alukan.


Insya Allah, blog ini akan cuba dikemas kini dan dinaik taraf dari semasa ke semasa.


Sekian, Terima Kasih